Tika Bidadari Berbisik – pesanan buat Seorang Suri dan Miss Single

 

masa ai tengah baca intipati site sinar harian ni, jumpa satu review buku yang agak menarik. worth to share :-) insya'Allah
 
review buku ini ai copy paste dari site sinar harian.com.

"Apa khabar wahai bidadari milik ALLAH S.W.T? Saya juga hanyalah insan seperti kalian. Seorang perempuan yang dilahirkan tanpa keistimewaan, hanya manusia biasa. Namun takdir yang dijalani tidak serupa seperti kalian. Manusia ini ditakdirkan dengan corak hidup yang berbezabeza. Meskipun pepohonan akar kita berbeza, insya-ALLAH di hujung ranting akan bertemu satu jalan yang sama.

Kalian,


Saya tidak bertuah seperti kalian yang dikurniakan ILAHI seorang suami dan permata-permata soleh dan solehah sebagai pewaris agama dan keturunan. Sangat cemburu rasa di hati melihat hadiah ALLAH S.W.T kepada kalian. Namun akhirnya saya meyakini kebahagiaan kalian di dunia ini adalah berbentuk demikian dan kebahagiaan yang saya terima adalah dengan cara yang berbeza.


Saya beranggapan positif bahawa TUHAN belum lagi mengurniakan kebahagiaan mungkin kerana DIA terlalu menyayangi dan sedang memelihara saya. Mungkin pada suatu masa yang sesuai akan menyerahkan saya kepada lelaki yang terbaik mengikut pandangan-NYA. Jika tidak dikurniakan di dunia, mungkin telah disimpan seseorang untuk saya di syurga kelak. Nantikan sahaja kepulangan saya di sisi ALLAH S.W.T. Saya pasti akan merona-rona cinta pemberian-NYA  kelak. Alhamdulillah….doa saya semoga kalian menghargai pemberian TUHAN dan bagi yang seperti saya dapat mensyukuri apa yang dianugerahkan.


Kalian,


Janganlah memandang serong perempuan seperti kami yakni yang tidak punya teman berkongsi duka di sisa kehidupan ini. Setiap manusia dilahirkan berbeza sifat, niat dan perbuatan. Kami pasti pernah berasa kesunyian dan kesepian. Tentu sekali adakalanya menitis setitis dua air mata melihat kebahagiaan kalian.Pernah menerjah di hati, kenapa kami tidak bisa memilikinya? Namun sebibit iman telah menguatkan kami dan mendidik kami untuk mengenal maksud redha, tawakal dan “La tahzan” yakni jangan bersedih.


Walaupun kita dilahirkan atas nama perempuan, tetapi ALLAH S.W.T telah mencipta kita dengan berbeza-beza sifat dan berbeza niat. Ada perempuan yang sangat mencintai dunia dan akan melakukan apa sahaja untuk mencapai niat. Ada perempuan yang sekadar ingin menumpang kasih dan berkongsi tempat mengadu di akhir sisa kehidupan. Mungkin ada sebahagian perempuan yang tidak sanggup melihat perempuan lain dilukai malah mungkin juga ada perempuan yang memilih untuk hidup dan matinya kerana ALLAH S.W.T dan mencintai Rasulullah s.a.w. Inilah kehidupan! Aneka interpretasi dan pelbagai corak lakaran kehidupan. Jadi di manakan letaknya diri kita?


Menjadi isteri kepada seorang suami adalah impian setiap wanita. Apatah lagi, jika dianugerahi kebahagiaan dan kesetiaan yang berpanjangan. Namun bukan semua wanita memilikinya. Bersabarlah. Ajarlah hati dengan kesabaran dan sentiasa redha dengan pemberian ILAHI. Insya-ALLAH hati akan tenang, setenang air di kali...


Hidup di dunia yang serba mencabar ini sangat menakutkan bagi hati yang tidak kuat. Ada dalam kalangan kita sering berjumpa dengan orang yang salah. Apakah yang dimaksudkan dengan orang salah? Iaitu orang yang tidak sesuai dan tidak menepati cita rasa malahan mungkin juga mereka yang mempunyai niat serong. Inilah kelemahan manusia, tidak mampu menilai hati seseorang; baik atau sebaliknya. Juga tidak mampu menapis dan memeriksa niat mereka. Hanya ALLAH S.W.T sahaja yang mengetahuinya,maka kepada-NYAlah yang seharusnya menjadi tempat bergantung. Kepada-NYA jualah kita bertanya, kepada-NYAlah kita menanti jawapannya. Dalam lembut, ALLAH S.W.T akan menjawab soalan kita. Yakinlah..


Menyakiti hati wanita lain bukanlah suatu perkara yang harus dibanggakan. Merampas tanpa rela dan merosakkan hubungan wanita lain hanya untuk kepentingan kebahagiaan diri sendiri juga bukan sesuatu yang harus dibanggakan. Bahagiakah apabila tidak mendapat kemaafan daripada mereka yang kita sakiti? Mampukah dibayar kembali penderitaan yang dihadiahkan kepada kita? Mampukah menakung kembali air mata yang tumpah kerana kita? Sulitkah hidup jika kita ditakdirkan bersendiri di muka bumi ini?


Kini baru saya sedari ada sesuatu yang harus saya cintai dan kini saya ketahui curahan cinta ini untuk siapa. Setelah penuh liku yang dilalui yang menjanjikan kepalsuan, saya sedari bahawa indahnya mencintai ALLAH S.W.T dan Rasulullah s.a.w. Mengenali baginda s.a.w dan perjuangannya melalui naskhah hakiki, telah menerbitkan cinta saya kepada junjungan besar itu. Betapa saya amat merindui baginda sehingga tidak mampu diucapkan dengan kata-kata.


Adakalanya, saya berasa sangat rindu kepada baginda dan alangkah indahnya jika baginda s.a.w masih ada bersama. Saya pasti ingin berusaha berada hampir di sisi baginda s.a.w. Melihat senyumannya melalui kejauhan juga tidak kira nyata atau mimpi, pasti akan menenggelamkan saya dalam lautan kebahagiaan dan menghapuskan parut dan luka di hati.


Mencintai ALLAH S.W.T dan Rasulullah s.a.w adalah perasaan terhebat yang harus kita cari. Menggali cinta ini di sisa kehidupan adalah jauh membuahkan kebahagiaan dari terus mendamba cinta si Adam yang entahkan suci entahkan tidak. Indahnya akhlak Rasulullah s.a.w tidak dapat digambarkan dan saya sering berasa bertuahnya Sayidatina Siti Khadijah, Siti Aisyah dan isterinya yang lain kerana dapat mendekati baginda s.a.w.


Memikirkan mencari pasangan yang berakhlak seperti Rasulullah s.a.w ternyata sangat sukar pada zaman yang sangat pantas ini. Malah mungkin sudah pupus di muka bumi ini. Cukuplah pada saya andai seseorang lelaki mementingkan tiga perkara di dalam hidupnya iaitu solat, puasa dan zakat seperti termaktub di dalam al-Quran. Insya-ALLAH, saya percaya sekiranya lelaki di dunia ini mengambil berat akan tiga perkara ini, maka dia mempunyai asas yang agak kukuh dan boleh ditajamkan sebagai khalifah besar atau khalifah kecil. Akan saya ingat sampai bila-bila hadis Rasulullah s.a.w di bawah ini sebagai kekuatan diri.


Daripada Abu Hurairah r.a, dia berkata bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda, “Demi zat ALLAH yang jiwaku ada di dalam genggaman kekuasaan-NYA, tidaklah seseorang daripada anda semua itu sempurna keimanannya, sehingga saya lebih disukai yakni lebih dicintai untuknya daripada ayahnya sendiri dan anaknya.”


Pesanan Buat Miss Single


Wahai si manis,


Walaupun kita berbeza; dikau melayari sendiri bahteramu penuh kepayahan dan pelayaranku dikemudi oleh nakhoda gagah perkasa, namun kita menuju destinasi yang sama, negeri yang abadi. Kelak kita bukan kita lagi wanita dunia yang penuh noda, sarat dosa. Di dunia abadi itu nanti, kita akan disarungkan pakaian sutera hijau, penuh kelembutan, penuh kemewahan yang tidak terlihat dek mata dan tidak terlintas difi kiran. Tiadakah keinginan di hatimu, wahai si manis untuk berdampingan dengan puteri Rasulullah s.a.w, Sayidatina Fatimah r.a? Beliaulah yang akan mengetuai kita semua, para bidadari syurga!


Masih ingatkah pesanan terdahulu yang meminta kalian bersyukur dengan apa yang dimiliki sekarang? ALLAH tidak pernah dan tidak akan menjadikan sesuatu takdir itu dengan sia-sia. Cuma penerimaan kita terhadap takdir-NYA itulah yang berbeza atas sebab-sebab yang hanya DIA sahaja yang Maha Memahami. Ia begitu sukar diluahkan.


Mungkin ada yang tidak dapat menerima alasan yang diberi. Lantas kita dikeji. Dikritik. Lalu, hanya kepada-NYA kita memohon kekuatan untuk terus bertahan, agar tidak terus tersungkur dalam kekecewaan. Agar kekecewaan yang dialami tidak tersasar dalam lingkungan redha ALLAH. Berat. Kami (isteri) dimiliki kerana ALLAH ingin menguji kami. Kalian bersendiri juga atas landasan yang sama. Kita semua diuji-NYA. Kami akui keluhan kalian. Memiliki suami adalah impian setiap wanita. Itulah naluri yang dicipta sejak azali.
Kami mendambakan seorang suami persis Nabi Muhammad s.a.w, walau iman kami sendiri tidaklah sekukuh mereka. Kami sedar kekurangan itu. Kami berharap suami dapat membimbing ke jalan yang lebih diredhai. Bukan ketampanan yang dicari. Duit juga bukan penentu kebahagiaan. Nama dan kedudukan juga tidak menjamin kerukunan rumah tangga.

Iman, takwa dan amal soleh menjadi impian. Kesetiaan amat diharapkan. Sikap jujur kunci kedamaian. Namun, ALLAH Maha Merancang. Tidak semua impian dipenuhi. Banyak halangan menuju cinta abadi, cinta ILAHI. Suami itu hanya ‘alat’ untuk mencari cinta hakiki tersebut. Namun, sebagai manusia biasa yang lemah, kami sering menyalahgunakan ‘alat’ itu.


Kami menyayangi suami kerana cinta dan nafsu. Sering tidak terjumpakan ALLAH dalam proses menyayangi itu. Apa yang kami lakukan sering kerana suami, niat kami tersasar. Lantas, apabila diuji, kami mengeluh kecewa yang amat mendalam. Luka kami sangat parah. Andai dari awal lagi kami meletakkan ALLAH mengatasi semua yang ada, tentu ujian yang diberi kami iringi dengan ucapan “Hanya daripada ALLAH kami datang dan kepada- NYA jualah kami kembali.”


Kami pasti memahami bahawa suami itu hanya pinjaman dan bukan milik kami secara mutlak. Namun, selalunya kami terlewat. Kami terlalu bergantung harap kepada suami dan bukan kepada-NYA. Itulah hakikat pahit yang dihadapi. Perasaan sayang kepada suami mengatasi cinta kami pada ALLAH.


Apabila kecewa terhadap suami, kami lupa jasa-jasa mereka. Kami ungkit segalanya. Maka kami telah mendustakan nikmat bersuami yang telah ALLAH anugerahkan. Sungguh sulit untuk menyusun kata-kata ini. Antara kelemahan kami sebagai isteri dan rasa kehambaan kami terhadap-NYA.


Kami sedar, kami harus mengagungkan ALLAH, namun sifat kewanitaan ini sangat sukar dibendung. Kami kalah, wahai bidadari bersendiri. Maka, dengan keadaan kalian yang bersendiri, tanpa suami, sebenarnya lebih mudah bagi kalian mencintai ALLAH sepenuh jiwa kalian. Mungkin kalian akan berkata, ah, mudahnya kesimpulan kami. Kalian juga mungkin akan terus berkata, kami tidak merasakan apa yang kalian tanggung.

Benar, wahai bidadari bersendiri, kami mungkin tidak memahami sepenuhnya gelodak jiwa kalian, namun apabila difikirkan dengan ujian-ujian hebat daripada-NYA, terfikir juga kami untuk kembali bersendiri. Itulah pilihan sebahagian kami. Tewas dengan ujian kehidupan berumah tangga. Hilang ketabahan dan kesabaran. Timbul pula kesedihan dan kekesalan yang berpanjangan.


Hidup ini sayang, penuh ujian. Kalian diuji bersendirian, kami diuji berteman. Ujian kita tiada persamaan namun pengakhirannya itulah yang akan dinilai TUHAN. Ingatkah kalian peringatan-NYA, tiada teruji iman seseorang andai belum diduga. Jangan dikata dikau beriman, andai ditewas perasaan, dihina keyakinan, disisih ketakwaan (Al-Ankabut: 2). Wanita beriman apabila diuji, akan kembalikan hati dan keyakinan kepada Pemberi ujian. Ketika itu dia akan berserah penuh pergantungan dan tentu berhikmah ujian yang datang. Jika tidak di dunia sini, pasti dunia sana menanti penuh simpati, penuh janji.


Suami anugerah TUHAN. Wanita pula perlu berteman. Pingin layanan. Damba kehangatan. Kami memperolehinya, sayang. Nikmat dunia telah ALLAH anugerahkan kepada kami. Hijab rindu kami disingkap tangan sasa mereka yang bernama suami. Sunyi hati kami diriuhi dengan nyanyian cinta lelaki.


Dingin malam kami dihangatkan dengan dakapan mereka. Buruk rajuk kami dipujuk, panjang muncung kami tahan disinggung, leteran dan bebelan kami disimpan di hati. Maka nikmat TUHAN manakah yang perlu dustakan lagi..? Namun, cerita yang indah itu, tidaklah selalu indah. Ada khabar buruk daripada Rasulullah s.a.w. Dengarnya, kamilah golongan yang berpotensi memenuhi neraka itu kerana untuk pengetahuan kalian, wanita memang mudah mengeluh dan melupakan kebaikan suami (nauzubillah). Mulut ini mudah benar meluahkan ketidakpuasan hati kepada rakan dan keluarga. Kami tidak sabar dengan ujian kerenah suami, maka kami selalu kalah. Kami mengaku bukanlah mudah menjadi isteri solehah. Hati kena selalu tabah, jiwa tenang perlu dikerah. Harus selalu lapangkan dada, menerima suami seadanya dia. Realiti masyarakat Melayu kita, suami dijaga penuh setia.


Memang naluri kita pula, jujur berkhidmat kerana cinta. Namun kami terlupa, khidmat sepatutnya diberi bukanlah kerana cinta semata tetapi yang utama, kerana mencari redha Maha Pencipta.


Di situlah kesilapan bermula, maka apabila kecewa, ujian melanda kami berputus asa. Mengungkit apa yang telah diberikan, mengharamkan apa telah kami halalkan dan meminta kembali apa yang telah diberi. Suami kami juga insan biasa. Suami kami tidak hidup pada zaman Rasulullah s.a.w. Maka dengan itulah iman mereka begitu goyah.


Kami terima mereka seadanya kerana cinta. Kekurangan mereka kami tampungi. Kelemahan mereka kami tonggaki. Kecacatan mereka kami tutupi. Aib mereka kami sembunyi. Kami juga berharap yang sama daripada mereka. Kami juga tidak sesolehah isteri-isteri Rasulullah s.a.w. Namun kami dan suami saling lengkap-melengkapi.


Sabar itu wajib. Tabah itu harus. Ada masa suami kami diduga. Dugaan mereka adalah seputar kesetiaan sebagai suami. Mereka selalu kalah kepada wanita seperti kalian. Bertepuk sebelah tangan tentu tiada bunyinya. Tetapi kalian bertepuk tangan bersama-sama suami kami, yang kami harap setia selamanya. Namun, inilah yang dikatakan ujian dunia. Bagi yang tiada kekuatan, perpisahan - lah penyudahnya. Bahtera yang dilayari bersama musnah karam. Bukan mudah bagi kami untuk menerima kalian. Bukan mudah... Andai bersisa iman di dada, mungkin kami mampu bertahan. Namun, kekuatan untuk kekal dalam bahtera yang dilanda badai, datang daripada Yang Maha Menguji.
 
Benar kata sebahagian kita, kalau kuasa cerai di tangan kami, tentu telah habis talak kami lafazkan. ALLAH Maha Bijaksana, DIA tidak melepaskan kuasa itu di tangan kami bahkan menyerahkannya kepada para suami. Suami yang bijaksana akan memendam dalam-dalam, kejap-kejap dan kemas-kemas serta menelan bulat-bulat segala bebelan dan cacian kami. Kami beruntung jika dianugerahkan suami sedemikian.

Kami mengaku kelemahan sendiri. Kami mudah mengalah pada emosi. Suami yang pendek akal akan mengalah juga, mengalah dengan keegoan mereka. Lantas, kami ditinggal dan dicampak begitu sahaja lalu diceraikan melalui pesanan ringkas. Mohon dijauhkan ALLAH. Kami doakan kalian tidak mendapat jodoh begitu. Kami doakan kalian akan menjadi suri kepada lelaki yang beriman, bertakwa dan beramal soleh. Mudah-mudahan...


Namun, kami ingin bertanya, adakah kalian sanggup hidup bertemankan lelaki hidung belang? Kaki judi? Hantu nombor ekor? Buaya darat? Si Panas baran? Andai ‘terperangkap’ dengan suami begitu, kami berusaha membawa mereka kembali ke pangkal jalan kerana kasih kami bertahan.


Dek cinta, kami setia. Namun, jika masih hampa setelah berusaha, kami sanggup menebalkan muka ke muka pengadilan, memohon bantuan. Maka, berhati-hatilah sayang, jangan diturut nafsu di kalbu, badan merana, jiwa sengsara, hidup derita. Kalian masih boleh bahagia walau tidak bertemankan suami.


Itu kisah tentang suami. Belum lagi bercerita tentang permata-permata hati. Benar, setelah menjadi isteri, kami kepinginkan cahaya mata. Anak juga anugerah ALLAH namun tidak semua dianugerahkan apa yang kami ingini. Dengan izin-NYA, setelah sembilan bulan berlalu, lahirlah permata yang dijaga di dalam rahim sebaik mungkin.


Namun, bagi yang rahimnya tidak diizinkan ALLAH untuk mengandungkan zuriat, terpaksalah redha dengan ketentuan itu. Ramai yang mencuba pelbagai cara, moden atau tradisional hingga sanggup berhabis ribuan ringgit. Namun akhirnya mereka sedar bahawa dugaan ALLAH begitu mahal. Itulah ketentuan-NYA yang tidak boleh dipertikaikan.


Amanah membesarkan dan mendidik anak adalah satu tugas berat. Sungguh, ia bukan kerja santai. Sedari dalam kandungan lagi, anak perlu dibelai. Sesudah lahirnya, tugas menjaga anak kecil menjadi lebih rumit. Mungkin kalian geram melihat pipi gebu anak kami. Mulus kulitnya. Hening matanya.


Hakikatnya, apabila anak kecil ini demam atau jatuh sakit, kamilah yang bersengkang mata sepanjang malam. Naluri keibuan yang kuat hanya meminta suami memandang kami penuh ihsan. Itu sahaja. Kami tidak menuntut mereka berjaga malam, bersengkang mata. Naluri ibu sejati. Tidak akan kami ungkit selamanya.


Anak yang bersekolah berbeza pula ceritanya. Sekolah rendah dengan cerita penuh suci. Sekolah menengah dengan cerita penuh teka-teki. Kamilah yang mendengarnya. Walau penat dan sesekali suara diangkat tinggi, tangan ringan hinggap di sana-sini, namun akhirnya kami kesali dan ringankan sesalan dengan menganggap kami sedang mendidik anak agar menjadi seorang manusia.


Apabila mereka meningkat dewasa, kudrat kami pula lelah merangkak usia tua. Impian kami berubah tetapi kekal kepada inginkan mereka terus menjadi manusia yang cinta ALLAH, kasihkan Rasulullah. Moga dalam keredhaan ALLAH.


Begitulah serba ringkas ujian kami, bidadari yang dimiliki. Wahai si manis, kami ulangi sekali lagi, ujian di dunia ini hanya untuk menentukan siapakah kita di akhirat nanti. Jika kalian tabah dan redha dengan ujian bersendiri di dunia sini, percayalah di dunia sana kalian tentu akan dimiliki oleh suami yang menjadi impian sebegitu lama.


Maka, janganlah bersedih dan berputus asa. Berbahagialah dengan kasih sayang ALLAH dan cinta rindu Rasulullah. Itu sudah mencukupi."


macam mana tersentuh tak? hehe. so jangan lupa dapatkan buku ni di kedai buku berhampiran atau buat pesanan secara pos.  Sila bank in bayaran (menurut harga buku)  ke akaun Karangkraf Mall Sdn Bhd. (Maybank - 0142 7120 4204). Tambah RM7 senaskhah bagi kos pos. Kemudian, fakskan slip bank (nyatakan nama, judul buku, alamat & no.tel) ke 03-5101 7483. Sebarang pertanyaan mengenai langganan sila hubungi  03 51017480/7481 /7478 HP: 019-3310102 atau
http://mall.karangkraf.com

0 comment:

Powered by Blogger.